Thursday 17 November 2016

Tuhan mengajarku erti kehidupan

Dikesibukan hari...
siang yang padat, malam yang tenang. Kepancaran bulan yang terang pasti akan memukau setiap mata yang melihat. Mampukah anda melihat keindahan matahari sepertimana anda melihat keindahan bulan?  Tidakkah anda semua turut sedar akan keindahan matahari. Sinaran yang memancar begitu terik.

Hidup ini penuh dengan ujian dan pancaroba. Memaksa kita terus teguh seperti matahari, kelihatan tenang seperti bulan. Tanpa kekuatan jiwa dan ketenangan mengalami falsafah kehidupan kita pasti akan hanyut menjadi manusia yang rosak jiwa dan akhlak!

Jangan mudah mengalah, jangan mudah pasrah pada orang-orang yang memberikan anda aura-aura yang negetif. Bagaimana anda ingin berjaya sekiranya anda tidak mampu menangani 'stress'. Andai anda sendiri tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri bagaimana hendak mengurus orang lain apatah lagi mengurus anak-anak, keluarga dan saudara-mara yang terdekat.

Bersyukur.. Tuhan memberikan aku peluang untuk mendekati orang-orang yang hebat. Namun, aku tidak pernah untuk memohon bantuan untuk meneruskan hidup dan sisa-sisa perjuangan kehidupan aku ini. Aku bersyukur kerana sejak di bangku sekolah aku telah mendapat tajaan biasiswa daripada pihak kerajaan setiap bulan, iaitu bermula aku berusia 13 tahun.

Sejak mendapat kemudahan biasiswa daripada pihak kerajaan walaupun tidak banyak pada ketika itu, aku tetap berjimat cermat dan berusaha supaya tidak membebankan orang tua dalam pemberian nafkah atau keperluan untuk diriku sendiri.

Semasa aku berumur 13 tahun ibu memilih supaya aku dapat tinggal di sekolah berasrama penuh. Setiap kali cuti persekolahan secara lazimnya aku akan menetap di asrama dan mengulang-kaji pelajaran-pelajaran yang sukar.

Pada ketika itu aku mula sedar bahawa aku semakin hidup berdikari apabila berjauhan dengan keluarga. Aku jarang mempunyai masa bersama keluarga, hidup jauh daripada keluarga tersayang, dan memilih untuk jarang-jarang balik ke kampung kerana faktor tempat tinggal yang jauh daripada sekolah. Oleh itu, aku dapat menjimatkan kos tambang bas untuk pulang ke rumah.

Pada masa itu juga, ibu dan ayah sudah bercerai sejak aku masih kecil.Mungkin semasa aku berusia lima tahun kebawah. Aku sendiri tidak pasti akan hal itu kerana aku tidak pernah bertanya kepada ibu, risau akan ibu berasa sedih dan kecewa. Oleh sabab itu, aku memilih untuk berdiam diri dan membuat manipulasi sendiri.

Mungkin Allah ingin mengajar aku erti sebuah kehidupan lebih awal kerana sudah mendapat dugaan sejak daripada kecil. Anak kecil mana yang tidak sedih dan kecewa membesar tanpa kasih sayang seorang ayah, anak kecil mana yang rasa bahagia tanpa seorang ayah di sisi, yang patut menjadi pelindung utama kepada si anak kecil apatah lagi seorang anak perempuan.

Aku sejak dari kecil belajar untuk mempertahankan diri sendiri, tanpa ayah siapa yang nak lindungi aku. Ibu?  ah! sudah-sudahlah aku menyusahkan ibu mencari nafkah dan sesuap nasi untuk aku.

Bagi aku tidak perlu anak-anak yang lain mengalami nasib yang sama untuk memahami, mengerti dan menghargai erti sebuah kehidupan. Jalankan amanah sebaik mungkin menjadi makluk Tuhan yang tahu erti sebuah kesyukuran. Apakah kita perlu pergi keluar negara melihat nasib orang lain yang lebih menderita, walhal kita tidak perlu menoleh jauh ke pelusuk dunia sedangkan di sebelah kita sahaja masih ada insan-insan yang tidak bernasib baik seperti diri kita masing-masing.

Perlukah kita kehilangan orang-orang yang tersayang baru kita nak belajar erti sebuah kasih-sayang. Janganlah kita biarkan diri kita sendiri terjeremus ke arah lemah kebinasaan, kerana kita sendiri yang akan menyesal!

Kadang-kala kita memilih untuk setia kepada anak, isteri/suami,  sahabat dan keluarga bukan kerana kita tidak hebat untuk mencari yang lain. Tetapi, manusia seperti ini sangat mengerti akan makna erti sebuah kehidupan. Kita tidak mahu rasa disakiti, sebab itu kita belajar supaya tidak menyakiti, kita tidak mahu dibohongi kerana kita tahu betapa sakitnya sebuah penipuan.

Begitulah senario kehidupan kita di muka bumi ini. . .

Wednesday 16 November 2016

Kenapa perlu menyerah kalah, sebelum berjuang!

Panji-panji Islam pada suatu ketika dahulu sangat digeruni dan ditakuti oleh semua bangsa didunia. Disebarkan dengan penuh ketakwaan dan semangat juang yang tinggi, merentas benua, lautan dan samudera sehingga mampu menakluki 2/3 dunia. Dahsyat sungguh!

Bagaimana Islam pada suatu ketika dahulu mampu berjuang bermati-matian. Dengan semangat yang berkobar tanpa perlu takut kepada segala ancaman daripada pihak musuh. Ah!  kita semua perlu sedar, kita perlu menjadi lebih kuat, lebih bijak, dan jadi lebih berani. Bagaimana anda mampu menghapuskan sepuluh orang musuh sedangkan yang seorang sahaja anda tak mampu untuk menghadapi.

Aku sungguh kesihan melihat seorang sahabatku yang boleh kita jadikan sebagai panduan dan iktibar dalam kehidupan seharian. Mimi (bukan nama sebenar),  telah berjaya dilantik sebagai ketua pelajar atau lebih sinonim dengan gelaran YDP.

Suatu hari aku mendapat perpindahan pusat pengajian di mana tempat mimi sedang belajar. Tampaknya pandangan aku pada pertama kali menemuinya adalah biasa-biasa sahaja. Walaupun dia sedang menyandang sebuah jawatan yang sungguh berat bagi seorang pelajar yang akan sentiasa berurusan dengan pengarah, aku tetap bersahaja dengannya. Mungkin kerana sikap aku yang bersahaja dia semakin tercabar menjadi seorang ketua.

Bermulalah kisah kehidupan kami di sini. .

Mimi setiap hari akan mendapat tekanan daripada rakan-rakan yang lain khususnya daripada rakan yang bukan seagama dengannya. Aku mulai rasa bimbang akan melihat keadaan mimi, walaupun dia sering mencari kesalahan aku, sehinggakan pada suatu hari aku dijadualkan untuk membasuh tandas seorang diri. Tapi aku turuti segalanya selama dua minggu.

Dalam fikiran aku pada ketika itu, sepatutnya mimi berhati-hati apabila menjadi seorang pemimpin. Aku menganggap mimi bukanlah musuh aku kerana aku memegang prinsip hidup tidak mungkin aku akan bermusuh dengan saudara seislam aku sendiri walaupun mereka mencabar kesabaran aku. Hal ini kerana, ada banyak perkara lagi yang perlu diambil berat.

Sehinggalah mimi mengalami tekanan emosi yang sangat teruk akibat daripada permainan psyiology rakan-rakan yang bukan seagama dengan kami dan akhirnya mimi terpaksa mendapat rawatan daripada pihak hospital. Justeru, pada masa itu mimi mengalami perubahan emosi yang sangat ketara. Dia akan menangis tanpa sebab, marah dan mengamuk membaling barang tanpa sedar. Akhirnya pusat pengajian memutuskan mimi untuk dirawat selanjutnya.

Pada ketika itu, pelajar yang beragama Islam hanya tinggal beberapa orang. Aku, Fiqa,  Anis,  Nabila dan beberapa orang lagi yang tidak perlu aku sebut satu-persatu. Melihat keadaan yang semakin ketara, pelajar-pelajar bukan beragama Islam akan menganggu pelajar-pelajar yang beragama Islam. Mereka semakin meminati untuk menggangu kehidupan seharian aku.

Oleh kerana, aku pernah bersekolah di salah sebuah sekolah menengah yang menempatkan semua mubaligh Kristien. Aku tidak pernah takut dan gentar pada bangsa lain. Walhal, semasa aku bersekolah yang majoriti adalah agama kristein aku sempat bersahabat baik dengan mereka. Seolah-olah agama bukan menjadi batas pada kami pada masa itu.

*Bersambung pada kisah pengajian aku di tempat mimi. .

Hari berlalu dan terus berlalu. .
"tik, tok, tik, tok, tik, tok". .
Jam dan masa terus beredar. .
Aku semakin sedar akan gerak geri aku selalu diperhati. . Nama aku semakin terkenal di pusat pengajian dan aku tetap bersahaja. .  para pengajar yang bertauliah, para dokter, dan pengarah selalu memuji kecekapan aku apabila melakukan sesuatu tugasan. . .

Rupa-rupanya terdapat pelajar-pelajar lain yang semakin marah padaku, mungkin kerana dek rasa cemburu. Sehinggakan waktu rehat aku, mereka akan membuat bising dengan menendang pintu bilik aku dengan kuat sekali. Menyelongkar beg aku, mengambil bilik kunci aku dan yang paling parah sekali apabila aku sedang bermunahajat kepada Allah mereka akan memasang lagu-lagu rohani agama lain dengan kuat sekali.

Seperti mana apa yang mereka lakukan pada mimi aku juga turut rasai, bezanya cuma mereka tidak berani menyentuh aku oleh kerana aku mempunyai hubungan akrab dengan para pangajar, dokter dan pengarah.

Dalam suara hati aku berbisik, mereka silap menggangu manusia. Mereka ingat aku lemah seperti mimi. Ah!  tidak mungkin, siapa kamu untuk berlagak hebat di hadapan aku.

Aku adalah makluk Allah, hamba Allah yang diciptakan untuk takut dan tunduk hanya kepada Allah sahaja. Hanya Allah yang berhak disembah dan ditakuti. Bilamana kita letakkan Allah dalam hati kita secara automatik hanya Allah yang akan kita patut berasa takut dan gentar. Apatah lagi musuh yang bukan seagama kita, buat apa untuk kita takut!

Segala perbuatan mereka aku mulai rakam, aku bersemuka dengan mereka bersoal-jawab apa sebenarnya masalah mereka pada aku. Bila aku melihat mereka, aku memandang tepat kedua-dua bola biji mata setiap mereka. Segala bukti perbuatan mereka aku rakam dan rekod dalam telefon bimbit aku.

Sangat sukar untuk aku ceritakan setiap satu persatu perbuatan mereka. Sehingga pada akhirnya, mereka yang sendiri tewas lalu dibuang daripada pusat pengajian.

Bagi aku kejadian ini menyedarkan aku bahawa, janganlah sesekali kita takut pada seseorang yang tidak menyukai kita, tunjukkan kehebatan kita, kecekalan hati kita, komitmen kita dalam menjalankan kehidupan seharian.

Letaklah Allah dalam hatimu nescaya engkau pasti akan semakin berani!

Tuntutlah ilmu seluas lautan
Kerana engkau pasti akan berani untuk berhujah apa sahaja dengan orang lain..

Adanya ilmu pengetahuan yang penuh di dada pasti anda akan mendapat kekayaan, kebijaksanaan, kehebatan dan yang paling penting anda akan semakin percaya akan kewujudan Allah S.W. T. .

Seimbangkan dalam pencarian ilmu agama, perubatan, ekonomi dan sebagainya. Keputusan ada di tangan anda!  masa depan anda, masa depan keluarga anda, masa depan agama. Semua ada pada diri sendiri terpulang mahu jadi apa.


Friday 11 November 2016

Inspirasi Hari Sabtu

Pagi ini aku bangun awal seperti biasa, semalam aku berjanji ingin menunaikan solat tahajud dan aku siap kuncikan jam tepat pada pukul 3 pagi. Oleh kerana, aku tidur lewat semalam hampir pada pukul satu pagi akhirnya aku kelewatan tidak dapat membuka kelopak mata yang terasa sangat berat. Dengan lemah longlai jari jemariku menutup kekunci jam lonceng.
Ah! aku tewas lagi pada pagi ini.

Jam menunjukkan tepat pada pukul 6 pagi, aku membuka tirai dengan ucapan syukur pada Allah kerana masih mengizinkan aku bernafas di muka bumi ini. Melihat rakan sebilik yang masih tertidur lena, bertemankan bantal kecilnya aku seperti tercuit hati. Aku pantas bangun mengikat rambut lalu mengambil tuala kecilku.Membasuh muka lalu mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat subuh.

Sememangnya setiap malam aku akan berazam untuk bangun lebih awal. kemudian aku Terdengar suara kecilku meronta-ronta membisik semangat di kalbu.

Ah!  hari ini aku tewas lagi untuk menunaikan solat tahajud,tidakkah aku patut malu pada Allah. Aku tewas membiarkan syaitan membelai tidurku sampaikan aku kerugian 3 jam waktu untuk aku belajar di subuh hari. Eh! ina, sedar wahai diriku ini bukan masa untuk engkau berfoya-foya tidakkah engkau masih sedar terdapat ramai lagi muslimin dan muslimat yang berada di luar sana membutuhkan pengharapan hidup. Mana sikap juangmu untuk agama, mana sikap juangmu untuk bangsa dan negara!.

*Aku bermonolog sendirian kecewa dengan diri sendiri.

Dewasa kini, ramai umat islam yng semakin lupa akan tanggungjawab sendiri sebagai makluk Tuhan. Andai kita masih berleka-leka malas menuntut ilmu apa yang kita dapat untuk selamatkan dan pertahankan agama kita. Pemuda pemudi harus lebih berani, bijak dan rajin untuk menimbah ilmu supaya umat Islam semakin ramai melahirkan generasi bijak intelek, pakar fizik, pakar astronomi, pakar kimia supaya dapat menakluki dunia.

Seringkali aku tertanya apakah wang-wang yang disumbangkan ke negara barat dapat memberi manfaat kepada umat islam atau sebaliknya.  semestinya tidak! Umat Islam kini semakin lalai dek keseronokan kecanggihan teknologi, media massa dan seumpama dengannya.

Semakin kurang generasi tekun menimbah ilmu untuk selamatkan agama, negara dan bangsa masing-masing. Tepuk dada tanya iman, sama-samalah kita perbaiki diri masing-masing dari masa ke semasa.

Kita adalah manusia yang penuh khilaf sentiasa terleka dan perlu disedarkan oleh seseorang. kita manusia yang perlukan teman jangan biarkan diri dan minda sentiasa kosong mendapat bisikan daripada syaitan nir rajimm.

Sepertimana nenek moyang kita dahulu iaitu Adam a.s yang keseorangan lalu dibisikan syaitan untuk memakan buah larangan lalu dihukum Allah dibuang ke bumi. Namun, Allah yang sentiasa maha pengampun lagi maha pengasih sentiasa mengampunkan dosa hambanya-hambanya..

Semoga Allah melindungi dan merahmati kita semua dalam kehidupan seharian..

Merentas duri kehidupan

Hidup ini sungguh unik, tidak? Tahukah kamu, bahawa tidak ada siapa yang pernah melalui kehidupanmu, melainkan kamu seorang sahaja?
Dan hidup, akan selalu cuba mengujimu. Membuatmu jatuh tersungkur, sehingga kamu begitu penat untuk bangkit lagi.
Di setiap kejatuhanmu, ketahuilah, ada mata yang melihat dengan penuh kasih dan sayang. Berharap engkau akan bangun lebih gigih. Ketika seluruh dunia menyesakkan dada, dan lidahmu kelu untuk melaungkan jeritan meminta, kau tahu, kau masih ada tempat untuk merasa lega.
Biarlah jasadmu terluka sehingga engkau lumpuh dan tidak bermaya, biarlah mereka memandang penuh hina dan cela, donggakkan kepala dan temukan cintaNya. Bebaskan jiwamu. Apapun kondisimu, carilah Dia, yang bakal menerima seburuk apa pun dirimu.
“Aku adalah seperti sangkaan hambaKu terhadap Aku. Dan Aku bersamanya tatkala dia mengingatiKu. Sekiranya dia mengingatiKu dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diriKu. Sekiranya dia mengingatiKu di khalayak ramai, maka Aku akan mengingatinya di depan khalayak ramai yang lebih mulia. Jika hambaKu mendekatiKu sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Jika hambaKu mendekatiKu sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Jika hambaKu mendekatiKu dalam keadaan berjalan, Aku akan mendekatiNya dalam keadaan berlari.”
Jangan sekali-kali kau meminta mati dek kerana putus asa. Kau ratibkan sentiasa sabda Rasulullah ke dalam fikiranmu, “Jangan meminta mati, kerna kau, samada seorang hamba yang akan terus melakukan kebaikan atau pendosa yang perlu sentiasa memohon ampun.”
Berhati-hati dalam menanggapi situasimu. Hanya kerana kau merentasi cabaran yang terlalu menduga, tidak bererti kau bisa merasa megah. Dan kau  jangan sekali mengatakan, “Andai sahaja orang lain yang memakai kasutku ini, pasti tidak mampu menghadapinya sebagaimana aku telah melawan dengan berani,” nauzubillah, mohon dijauhkan dari riak-riak ‘ujub. Tidak ada yang bisa memakai kasutmu, itu benar. Iya, tidak mungkin akan ada yang bisa padan dengan kasutmu, kerna Tuhan, telah begitu adil dan bijaksana, membentuk kasut yang sesuai untuk kaki masing-masing.
Orang bisa bicara, dan kau kadang akan lelah mencari kata untuk menjelaskannya. Saat kau memilih diam, kau harus sedar bahwa hatimu telah kau utuhkan. Biarkanlah, dan teruslah melangkah, kerna tidak ada yang lebih peduli tentang hidupmu, melainkan diri kamu sendiri. Tidak ada yang akan bertanggungjawab ke atas mu saat hitungan bermula, kecuali dirimu sendiri.
-nikmadiha

Jubah untuk ibu

Ibu.. setiap kali aku teringatkan wajahmu, pasti air mataku akan mengalir lembut. Ibu satu-satunya wanita yang sangat aku sayangi...

Dialah Wanita tabah mengharungi kehidupan membesarkan tiga beradik tanpa seorang suami di sisi. Ayah!  kejamnya engkau biarkan ibu sendirian, tegahnya engkau ceraikan ibu tika aku masih kecil.

Tak mampu aku ungkapkan pengorbanan ibu sendirian tanpa ayah, tak mampu aku gambarkan saat-saat aku membesar tanpamu ayah. Tegahnya ayah membina mahligai di atas penderitaan insan lain. Bahagiakah ayah di situ?  Tidakkah ayah takut akan pembalasan Allah?

Tapi ayah kerana wajah ibu yang redup, mata ibu yang kuyu, suara-suara ibu yang lembut, perwatakan ibu yang halus. Aku tidak pernah membencimu mungkin sudah menjadi takdir Tuhan inginkan hidup aku begini. Aku pasrah!  Aku redo padamu Tuhan.

Ibu hari ini ina ada belikan Ibu jubah baru. Seperti yang ibu pinta sebelum ina terbang kesini, tadi petang Ina sangat gembira akhirnya dapat belikan ibu sepasang jubah berwarna putih. Kainnya lembut bak sutera, selembut-lembut hati ibu dan seputih-putih wajah ibu. Ibu pasti akan gembira menerima kiriman ini nanti ya Ibu...

Ina harap ibu gembira memakainya apabila menunaikan umrah nanti. Ina belikan jubah ibu menggunakan wang saku ina sendiri, ina berjimat cermat supaya dapat belikan ibu jubah baru.

Walaupun ina tak dapat beli barang keperluan ina sendiri. Ina tak kisah ibu, kerana Ina gembira dapat belikan ibu sesuatu.

Maafkan ina ya, bu. Lambat menunaikan hajat ibu. .

-salam sayang Ina untuk Ibu

Thursday 10 November 2016

Pen pena, Surat untuk adinda..

Warkah ini kulayangkan buat adinda di tanah air,
Setelah semusim berlalu tanpa khabar berita dariku. Ketahuilah aku di sini baik-baik sahaja. Ya, masih terluka oleh peristiwa tragis yang mencampakkan aku ke daerah kekecewaan yang tak berbatas. Tapi aku telah belajar menapak, sedikit demi sedikit menuju cahaya samar yang memanggil-manggil setiap kali mentari terbit.
Terima kasih untuk setiap pesanan yang kamu hantarkan lewat pawana yang membisikkan kata semangat, untuk setiap huluran tangan yang tak pernah mengenal penat, untuk setiap kesetiaan setiap kali pergi aku jeritkan.
Pagi ini aku melarikkan pena di atas helaian kertas putih yang telah lama tidak kuusik. Kutarik nafas sedalam-dalamnya, menikmati bayu segar pagi, biar mengisi dada yang kelelahan menampung duri-duri kesedihan yang menghiris.
Setelah setiap bancuhan dakwat sebelum ini hanya menumpahkan air jernih dari kelopak mataku yang telah bengkak dengan kengiluan yang tidak tertahan, hari ini 1 Muharam dan aku berjaya keluar dari kepompong yang telah membelenggu sekian lama.
Ah, betapa indahnya dunia!
Sisi kejam yang aku harungi telah empat purnama kutinggalkan, kukira kini aku menoleh ke belakang dengan lebih matang. Namun, luka yang membekas akan kekal selamanya. Akan kuhafal nama setiap insan yang telah menoreh belati pengkhianatan terhadap sebuah kejujuran dan ketulusan yang aku pertahankan.
Usahlah adinda risau. Aku masih waras mengharungi detik demi detik, walau ada ketikanya kepahitan itu tiba-tiba menjalar saat aku menikmati kemanisan kehidupan, aku belajar menerima ia sebagai sebahagian rasa yang harus aku terima dalam hidangan rutin harian.
Dinda,
Masihkah kau ingat sebuah pepatah yang nenda ajarkan di bawah teduhan pohon ceri kampung usai menghambat ayam-ayam serama, sambil menggulung rokok daunnya? Kata nenda, “Menjaga seorang anak perempuan itu lebih sukar dari menjaga sekandang lembu.” Aku menatap keliru. Memprotes tidak puas hati, “Adakah patut disamakan kita dengan lembu?” Lalu kau yang lebih santun mencubit, “Berilah nenda peluang untuk jelaskan dahulu..”
Nenda tersenyum melihat tingkah kita. Lalu menghuraikan bahawa seorang anak perempuan itu sukar untuk dijaga kerana banyaknya keperluan yang perlu dititikberatkan untuk membesarkannya sehingga menjadi wanita yang solehah dan berbakti kepada keluarga dan agama. Orang tua-tua memberi perbandingan dengan lembu bagi menggambarkan betapa pentingnya aspek pendidikan ruhani, emosi dan spiritual dalam penjagaan anak perempuan , sedangkan lembu sekandang hanya perlu diberi makan, minum dan tempat tidur sahaja.
Dinda, curahkan air mawar yang bersalut kerinduan dariku di pusara nenda saat kau menziarahinya. Walau aku selalu memberontak dan menentang, sungguh kata-kata hikmah dari nenda sering terngiang di cuping telingaku.
Lebih-lebih lagi tatkala aku diselimut kesah sebegini. Aku masih bertanya, andai masyarakat sedar betapa sukarnya membesarkan seorang anak perempuan, pernahkah mereka terfikir, betapa sukarnya menjadi anak perempuan itu sendiri? Kenapa tidak bekerjasama dan berusaha mewujudkan sebuah persekitaran yang selamat dan mesra untuk perkembangan seorang wanita?
Bukankah Rasul telah menjanjikan syurga buat mereka yang menjaga anak perempuan? Sebagaimana dalam banyak hadis yang diriwayatkan sahih, antaranya yang berbunyi:
“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan,lalu dia berbuat baik kepada mereka,melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.”
Dalam sesetengah riwayat disebutkan dua, dan ada yang menyebut satu sahaja.
Ah, orang kita perlu diramahkan lagi dengan hadis-hadis sepenting ini dan tidak hanya disibukkan mencari balah antara membaca surah Yasin atau al-Kahfi.
Kau tahu dinda, ketika dunia menginjak tua, di zaman yang telah Rasul wasiatkan kepada ummatnya supaya berlemah lembut dan menjaga perempuan-perempuan dengan baik, kadangkala aku terasa mahu melarikan diri dan menetap sahaja di dalam gua. Terlalu banyak mata-mata liar yang menaruh sangka dan hati-hati yang menyimpan dengki, dan aku di sini sendirian tanpa dahan untuk bergantung. Betapa sukarnya membezakan percaya dan dusta.
Aku mengah mempertahankan kehormatan yang selalu digasak. Antara membiarkan sahaja dilambung ombak kemajuan, atau menentang arus berpandukan kebenaran yang telah aku imani. Dan aku telah memilih menentang.
Kau tahu apa yang memberiku kekuatan? Tatkala aku mengenang betapa hebatnya ujian untuk perempuan-perempuan lain yang tak mampu aku huraikan dengan kata-kata. Orang beriman itu bersaudara. Dicubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya.
Untuk setiap malam seorang gadis yang direnggut maruahnya, untuk setiap ayunan rotan yang menyiat kulit kanak-kanak perempuan yang didera bapanya, untuk setiap impian remaja perempuan yang diperkecilkan dan dihalang, untuk setiap kesakitan yang menjalar dalam diri seorang ibu yang bertarung dengan kanser yang membunuh dan memakan kejelitaannya, untuk setiap esakan seorang isteri yang diperlakukan tidak adil oleh suaminya, aku bangkit kembali. Aku bangkit mendepani hari-hariku yang lebih beruntung dari mereka dan berjanji tidak akan rebah sedalam ini lagi.
Taufan tangisan telah kita lewati. Namun tangisan itu tidak akan terbiar sia-sia.
“Kerana dengan tangisan itu, seperti telah terlihat dalam sejarah Islam, bergumpal menjadi tenaga untuk dihalakan menjadi sebuah pemberontakan.
Tangisan hanyalah permukaan. Tenaga dan semangat di sebalik tangisan itulah yang lebih utama. Semangat, tenaga kemarahan dan kekesalan itulah yang amat ditakuti oleh penindas.”
Kita wanita-wanita yang teraniaya, kita akan bersatu dalam doa.
Bersatu.
Dalam doa.

Pen pena, surat untuk adinda 2..

Cinta itu langit, apa pun yang di bawahnya akan ditutupinya. Cinta itu angin, apa pun yang ditiupnya akan digerakannya. Cinta itu seperti air, dengannya hidup segala. Seperti bumi, Cinta bisa menumbuhkan semuanya.
Salam penuh kecintaan buat adinda, qurratul ‘ainseisi keluarga di sana. Apa khabar adinda, pada bulan sambutan cinta? Apa ada kumbang yang melayangkan warkah beraroma bedak wangi dari kedai runcit Ah Tong?
Aduh, sakitlah! Kalau aku di hadapanmu, pasti engkau akan mencubit pedih lenganku saat mendengar gurauanku ini. Ah, adindaku perempuan mahal yang tak terbeli mainan kata sang kasanova.
Adinda,
Di sini, orang-orang mulai sibuk dengan perayaan bulan cinta. Di kedai-kedai, telah rancak dengan pelbagai promosi dan bergantungan warna warni gambar pencinta lelaki dan wanita. Bunga-bungaan mekar di atas para, bersedia untuk dicapai, sebagai hadiah dari sang teruna buat sang dara. Dara? Aku pun tidak pasti. Yang jelas, di sini, dara atau tidak bukan soal yang penting lagi. Kulihat, teman-teman sekuliahku begitu mudah bertukar-tukar pasangan Kadang-kadang, aku hairan juga melihat fenomena aneh ini.
Adindaku gadis cekal yang penuh adab,
Ingatkah lagi engkau, esak tangis Bunda saat ditinggalkan bapa? Lantas jari jemari mulusmu menyapu lembut air mata yang tumpah, di kala aku kehilangan kata-kata, dan lidahku terlalu kelu untuk berbicara. Kau bisikkan pada Bunda, “Bunda masih ada aku dan kanda.” Lalu Bunda peluk kita erat-erat, “Kita akan hidup dengan cinta,” kata Bunda.
Aku bingung. Bagaimana Bunda masih menyebut soal cinta, ketika lelaki yang dicintai seluruh jiwa dan raga memutuskan untuk menghancurkan rumah tangga yang terbina? Suatu hari, aku sampai berjanji pada diri, akan aku haramkan lelaki dari dalam hidupku buat selama-lamanya.
Sehingga engkau, adinda, anak yang pintar dan cerdas menyoalku kembali dengan firman Tuhan,” Wahai Nabi, mengapa kau mengharamkan apa yang Allah halalkan untukmu?” dari ayat pertama Surah At-Tahrim. Aku terhenti sejenak. Kau lalu pergi, membiarkan aku yang sedang tekun mengulangkaji pelajaran di bawah teduhan langit biru, terpinga-pinga.
Adindaku permata yang tersimpan rapi,
Aku masih meneliti erti di sebalik perkataan bunda. Semalam aku berjalan jauh ke hujung kota, menekuni perbukitan hijau dan kesenduan cuaca, sambil melepaskan kerinduan kepada penghuni desa. Dan aku terpandang sepasang kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berlari-lari menjaja lilin di sebuah stesen kereta api. Setiap kali ada yang membeli, wajah mereka bercahaya dengan sinar yang sungguh indah. Tiba-tiba, kuperhatikan kanak-kanak perempuan itu memasuki sebuah kedai bakeri dan keluar membawa sebungkus roti. Dia berlari sekuat hati, dengan penuh kegembiraan menuju seorang wanita tua yang terduduk di atas tangga yang dibalut selimut. Kelihatan tongkat kayu di sebelahnya. Air mata aku tumpah di situ juga, ada rasa perit di kerongkong kerana menahan sebak. Aku ingin keluar menghampiri mereka, namun pintu kereta api ditutup untuk meneruskan perjalanan. Aku cuma mampu menatap dari jauh saat kelibat mereka sayup-sayup hilang dari pandangan.
Detik itu, kata-kata Bunda terngiang-ngiang di telingaku. “Kita akan hidup dengan cinta”
Adinda,
Bait-bait cinta yang aku nukilkan saat memulakan warkah ini, dikatakan sebagai kalam Imam Ali, karramaLlahuwajhah. Aku belum sempat menyiasat adakah benar Imam Ali yang menuturkannya. Kukira, siapa pun yang menyebutnya bukan masalah besar, tetapi rangkap indah itulah yang utama.
Seringkali, aku bertanya kepada diri. Bagaimana seseorang sanggup mengorbankan dirinya untuk insan lain,yang langsung tidak menghargai pengorbanan tersebut? Adakah cukup dengan alasan menjalankan kewajipan?
Lalu aku bertemu jawapan.
Cinta.
Mencintai diri sendiri. Aku fikir, kita memang wajar mencintai diri sendiri melebihi yang lain. Bukan dalam erti kata kecintaan material, tetapi kecintaan yang berhubungkait terus dengan Pencipta. Apa-apa sahaja yang kita miliki secara fizikal seperti harta, pangkat dan sebagainya, harus diutamakan kepada yang lain.
Tetapi cinta kepada Allah, berusaha melakukan kebaikan untuk dilihat Allah, itulah yang aku maksudkan sebagai cinta untuk diri sendiri yang wajar diletakkan di tangga pertama. Contoh, “Aku berkorban masa dan tenaga untuk menyiapkan juadah untuk keluarga selepas balik kerja, bukan kerana semata-mata kerana cinta kepada keluarga, tetapi cinta kepada diri sendiri dan aku mahu Allah yang berikan aku ganjaran” Jika ini yang kita terapkan di dalam jiwa, sudah pasti kita tidak akan terlalu kecewa ketika orang-orang di sekeliling tidak menghargai apa yang kita lakukan.
Sebuah pengorbanan terhadap orang-orang yang tidak menghargai barangkali lebih mudah dinikmati kemanisannya jika si pengorban menyandarkannya di atas rasa cinta kepada dirinya sendiri, bukan kepada penerima pengorbanan itu.
Cinta yang lebih mulia dan tinggi.
Bukankah Bunda selalu berkisah? Akan kisah Asiah, permaisuri Fir’aun. Lambang kecintaan yang suci dan murni buat Ilahi.
Adinda,
Akhir kalam, berwaspadalah dengan kuasa cinta. Begitu Imam Ali menggambarkan kuasa sebuah cinta, seharusnya kita, apatah lagi wanita yang mudah terusik hatinya, mengambil langkah berjaga-jaga. Alirkanlah kuasa itu kepada sesuatu yang bermanfaat buat Ummah, yang memberi makna lebih tinggi dari kehendak nafsu haiwani.
Dengan cinta, yang pahit menjadi manis, 
dengan cinta, tembaga menjadi emas, 
dengan cinta sampah menjadi jernih, 
dengan cinta yang mati menjadi hidup, 
dengan cinta yang raja menjadi budak. 
Aku tinggalkan adinda dengan rangkap syair dari Jalaluddin Ar-Rumi. Selamat meneroka alam semulajadi, bahasa cinta dari Rabbi.